MYTV menawarkan semua saluran TV terestrial percuma sedia ada iaitu TV1, TV2, TVi, TV3, ntv7, 8TV, TV9, TV AlHijrah dan Bernama News Channel (BNC) dalam kualiti digital. Pada masa akan datang, lebih banyak saluran TV serta perkhidmatan interaktif akan diperkenalkan.

CARA UNTUK MENDAPATKAN SIARAN DIGITAL 

Set TV Lama

Set TV lama sudah mencukupi asalkan ia mempunyai sambungan masuk AV/HDMI yang boleh disambungkan kepada dekoder MYTV menggunakan kabel AV/HDMI.

Set TV Baharu

Set TV baharu yang mempunyai label/cop DTTV dengan pengesahan SIRIM yang telah dilengkapi dengan penala digital (built-in digital tuner) atau dikenali sebagai IDTV (Integrated Digital Television) dan boleh menerima terus siaran digital myFreeview tanpa dekoder MYTV. Set IDTV telah mula dijual di pasaran.

Dekoder MYTV tidak diperlukan untuk set TV IDTV.

Aerial UHF

Aerial UHF perlu dipasang dan disambung kepada terminal aerial dekoder/IDTV. Ada dua jenis aerial yang boleh digunakan iaitu: 

a. AERIAL DALAMAN
Aerial ini boleh menerima isyarat bagi kawasan dalam lingkungan jarak lurus kurang daripada 25km daripada stesen pemancar. Bagaimanapun, tidak semua kawasan dalam lingkungan tersebut boleh menggunakan aerial dalaman disebabkan faktor halangan fizikal seperti bangunan, bukit serta ketinggian (altitud). 

b. AERIAL LUARAN (UHF)
Aerial luaran adalah pilihan terbaik dan boleh menerima isyarat pemancaran dengan baik apabila aerial dihalakan ke arah stesen pemancar.
• Alat ’booster’ tidak perlu dipasangkan kepada aerial kerana kebanyakan ’booster’ tidak membantu dan sebaliknya mengganggu penerimaan isyarat.

Dekoder MYTV

Ia juga dikenali sebagai alat penerima DVB-T2 yang perlu digunakan untuk menerima siaran digital myFreeview. Dekoder MYTV boleh didapati di kedai elektronik di seluruh negara mulai November 2016.